Komentar Terbaik
Tuesday, July 2, 2019
Kuasa dan jenaka netizen Malaysia - Komentar Siti Kamilah Mustapha
Tentu sudah ramai tahu mengenai 'kuasa' netizen di Malaysia berbanding netizen negara lain, ia terbukti apabila pengguna media sosial di negara ini merupakan yang ke-9 tertinggi di dunia.
Malah Malaysia di kedudukan kelima tertinggi dunia kuasa beli melalui platform e-dagang.
Menurut statistik pada tahun 2017 seramai 23 juta rakyat Malaysia mempunyai akaun media sosial Facebook dan 13 juta pula pemilik akaun Instagram berbanding jumlah penduduk negara ini kesemuanya 32 juta.
Berdasarkan itu, sudah tentu kuasa netizen di negara ini besar, mana mungkin tidak, apabila seorang penyanyi terkenal antarabangsa, Dua Lipa terpaksa memperbetulkan keterangan gambar di laman sosial Instagramnya setelah ‘diserang’ netizen Malaysia beberapa bulan lalu.
Walaupun kisah Dua Lipa dan netizen Malaysia agak melucukan ia tetap mendapat perhatian penyanyi terkenal itu hingga dia terpaksa membuat pembetulan keterangan gambar yang dimuat turun bagi mengelakkan terus ‘diserang’.
Selain kes Dua Lipa, sebuah portal berita Israel pernah ‘diserang’ netizen negara sehingga portal itu terpaksa membuang posting yang menjadi kemarahan rakyat negara ini.
Tidak habis begitu sahaja, portal itu turut menyekat ribuan akaun netizen Malaysia bagi elak mereka terus meninggalkan komen negatif kepada portal berkenaan.
Selain bersikap solidariti seperti dua isu yang dinyatakan tadi, netizen Malaysia juga boleh berjenaka dan bersikap sarkastik sehingga boleh menghiburkan orang yang membacanya.
Komen jenaka mereka boleh dikatakan seumpama taraf program televisyen Maharaja Lawak.
Percayalah, kalau anda dalam keadaan sedih atau murung apabila membaca komen netizen di portal berita mengenai sesuatu isu akan menghiburkan hari anda.
Komen-komen jenaka itu sangat menghiburkan sehinggakan ayat-ayat berkenaan kita tidak pernah terfikir pun menulis sedemikian.
Solidariti netizen yang menjadikan sesuatu isu sebagai jenaka itu disambung-sambung oleh netizen lain sehingga menjadi berantai dan mencecah ratusan komen.
Seorang teman pernah memberitahu penulis bahawa jika penat bekerja atau dalam keadaan badmood, dia akan membaca komen di portal berita termasuk di Kosmo! Online dan boleh ketawa berdekah-dekah di depan telefon bimbit.
“Betul, komen netizen ini selain buat aku boleh naik angin, kadang-kadang boleh hiburkan hari aku, contoh gambar pelawak ditahan semalam (kelmarin) walaupun telah dikaburkan mukanya tetapi ramai sudah boleh agak siapa.
“Netizen secara sarkastik menulis pelbagai komen lucu yang berkait-kait dengan meneka nama-nama artis lain yang tidak kena mengena langsung, solidariti mereka memang lucu,” jelas seorang teman.
Satu perkara yang ingin penulis puji mengenai netizen Malaysia adalah mereka cepat menyiasat sesuatu isu umpama korek sampai lubang cacing akaun media sosial seseorang yang mempunyai isu hangat.
Kadangkala siasatan mereka mengalahkan drama bersiri penyiasatan antarabangsa CSI contohnya, aktiviti dan jadual individu yang menjadi tumpuan itu dapat dicari dan ditularkan dalam masa singkat.
Bahaya pun ada, hebat pun ada netizen Malaysia ini, semua mereka boleh cari dan korek sampai lubang cacing sebegitu.
Tidak kurang juga yang sesetengah netizen yang cepat memberi maklumat kejadian kemalangan dan jenayah dengan membekalkan gambar terus kepada admin media sosial Kosmo! Online secara tidak langsung dapat membantu kerja wartawan menjadi lebih cepat dan mudah pada zaman digital ini. Terima kasih netizen.
Lawati Link asal.
Tuesday, April 23, 2019
Skandal rasuah JPJ: SPRM sahkan tahan 79 individu
PUTRAJAYA - Seramai 79 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 16 April lalu bagi membantu siasatan berkaitan skandal rasuah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang.
Jumlah itu termasuk tangkapan hari ini, seramai 21 orang melibatkan 19 penguat kuasa JPJ dan dua lagi bekas anggota Agensi Pengangkutan Darat (APAD).
Mereka yang berusia antara 33 hingga 53 tahun tersebut ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang antara jam10.15 pagi hingga 3.15 petang tadi.
Tangkapan dilakukan kerana mereka dipercayai terlibat dengan kegiatan menerima rasuah bagi melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar Pulau Pinang.
Menurut sumber, kesemua pegawai penguat kuasa JPJ dari Gred 22 hingga Gred 29 yang bertugas di Pejabat JPJ Pulau Pinang dan dua bekas anggota APAD Wilayah Utara itu dipercayai menerima bayaran secara bulanan sejak 2016 dan sehingga kini dengan jumlah terkumpul bagi kesemua wang rasuah tersebut adalah melebihi RM80,000.
Tambah sumber, SPRM tidak menolak kemungkinan ramai lagi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.
"Tangkapan ini merupakan siasatan peringkat ketiga susulan penahanan 58 pegawai penguat kuasa JPJ dan orang awam pada 16 April dan 20 April lalu, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan SPRM adalah seramai 79 orang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Thursday, April 18, 2019
Pas dakwa Anwar dalang undi tak percaya terhadap Tun M
KUALA LUMPUR - Pas hari ini tampil dengan teori bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya 'orang di belakang tabir' yang mahu membuat undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen.
Ketua Pemudanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ini berdasarkan reaksi Anwar yang marah ketika isu undi tidak percaya ditimbulkan oleh Pas.
"Pas tidak mendapat apa-apa faedah jika berlaku undi tidak percaya, yang paling mendapat faedah ialah Anwar. Jika kita lihat reaksi pertama beliau ketika mula kecoh isu ini, beliau memang marah dan tidak sangka tindakan beliau di belakang tabir dihidu Pas.
"Semua orang tahu Anwar idamkan jawatan Perdana Menteri, begitu juga semua orang tahu bagaimana DAP tidak percaya kepada Dr Mahathir," katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Kenyataan Muhammad Khalil itu sebagai membalas dakwaan Anwar semalam yang mengatakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahukan usul undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir.
Menurut Muhammad Khalil, sejarah lalu telah membuktikan Anwar pernah menjadi 'arkitek' di sebalik kisah mahu menumbangkan pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 16 September 2008.
"Bagaimana kisah 40 Ahli Parlimen BN diterbangkan ke Taiwan untuk berbuat belot terhadap Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi, surat kepada Speaker Dewan Rakyat untuk mengadakan sidang khas Dewan Rakyat dengan notis undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
"Ramai yang tidak tahu di sebalik semua itu siapa arkitek di belakangnya atau ramai juga yang tahu tetapi tidak dapat memahami apa yang cuba disampaikan oleh Pas sekarang.
"Anwar ialah arkiteknya dan orang yang bertanggungjawab terhadap cubaan tersebut yang pada mulanya dinafikan bermati-matian oleh beliau. Namun semuanya terbongkar adalah benar ketika perbicaraan saman beliau terhadap Khairy Jamaluddin pada 2017," kata beliau.
Bagaimanapun, katanya, cubaan Anwar pada 2008 terhalang apabila Speaker Dewan Rakyat menolak usul tersebut.
"Namun dengan Nga Kor Meng dari DAP menjadi Speaker Dewan Rakyat kali ini, usul tersebut akan mendapat laluan mudah jika diangkat," katanya.
Dakwanya lagi, PKR dan DAP sudah lama mengidam menjadi kerajaan dan hanya mempergunakan Dr Mahathir untuk memperoleh kemenangan pada PRU14.
"Setelah berjaya, kini sokongan terhadap Dr Mahathir bertambah kuat serta beliau seperti mahu kekal sebagai Perdana Menteri meresahkan PKR, DAP dan Amanah. Sebelum keadaan bertambah parah, membantutkan cita-cita dan agenda Malaysia Baharu, mereka perlu kembali kepada rancangan asal, hanya menggunakan Dr Mahathir untuk memenangi PRU 14.
"Dr Mahahtir perlu ditumbangkan atau dikeluarkan dari kerajaan dan PH. Cara paling efektif, usul undi tidak percaya pada sidang Dewan Rakyat kerana mereka merasakan memperolehi sokongan majoriti dan Anwar berpengalaman membuat 'manouver' sedemikian," katanya.
Tuesday, April 16, 2019
Buang air besar di khalayak ramai - Polis Port Dickson pandang berat
PORT DICKSON - Polis daerah ini memandang berat maklumat yang tular di media sosial mengenai perbuatan seorang pelancong asing wanita didakwa buang air besar di pantai Batu 5 di sini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, perbuatan itu jika benar berlaku merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam.
"Kami maklum mengenai maklumat yang tular tersebut, tetapi tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berhubung insiden itu setakat ini.
"Kami minta sesiapa yang mempunyai maklumat supaya tampil menyalurkannya kepada pihak polis," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, orang ramai yang berkunjung ke Port Dickson diminta menghormati sensitiviti masyarakat setempat dan menjaga kebersihan daerah ini.
Beliau turut meminta mana-mana pihak yang melihat berlaku perlakuan tidak senonoh di Port Dickson supaya segera melaporkannya kepada pihak polis untuk diambil tindakan.
Kelmarin, seorang pengguna Facebook memuat naik gambar didakwa memaparkan seorang pelancong asing wanita didakwa dari China buang air besar di pantai Batu 5.
Gambar itu menerima kecaman netizen Malaysia yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai menjijikkan dan tidak menghormati pengunjung lain pantai tersebut. - K! ONLINE
Periksa MPV : Anggota polis terlibat boleh diambil tindakan
MELAKA 16 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat dan mengambil tindakan tata tertib terhadap anggota polis yang terlibat dalam insiden kekecohan apabila orang awam memeriksa kereta peronda (MPV) polis semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, selain tangkapan lima orang awam yang tidak sepatutnya berbuat demikian, pihaknya juga akan mengambil tindakan terhadap anggota polis yang terlibat kerana mereka tidak sepatutnya membiarkan orang awam menghalang tugas mereka.
“Tidak wajar bagi orang awam untuk membuat pemeriksaan sedemikian dan bagi anggota polis yang terlibat pula, mereka tidak boleh bertolak ansur dalam isu berkaitan undang-undang, untuk itu anggota yang terlibat juga akan dikenakan tindakan.
“Walaupun bilangan mereka (anggota polis) ketika itu kecil, isu mereka takut berlaku kekecohan tidak timbul kerana mereka boleh mohon bantuan daripada rakan setugas lain kerana ketika itu sebanyak 1,100 anggota bertugas semasa PRK tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 331 anggota dan pegawai Polis Kontinjen Melaka di Dewan Serbaguna Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd. Rahim Jaafar; Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah dan para pegawai kanan dan anggota polis kontinjen negeri.
Monday, April 15, 2019
Pelajar perempuan dibakar hidup-hidup kerana tuduh pengetua merogol
DHAKA - BANGLADESH. Seorang pelajar berusia 18 tahun maut selepas dibakar hidup-hidup kerana dia enggan menarik balik tuduhan rogol ke atas pengetua sekolahnya.
Nusrat Jahan Femi disiram dengan minyak tanah dan dibakar tanpa perikemanusiaan di atas bumbung sekolahnya dalam kejadian menggemparkan di Dhaka, Bangladesh.
Dia meninggal dunia minggu lalu di Dhaka Medical College Hospital dengan 75 peratus kesan melecur pada tubuhnya.
Pengetua terbabit, Siraj-ud-Daula telah dipenjarakan sejak akhir bulan lalu selepas dia didakwa cuba memperkosa remaja terbabit di dalam pejabatnya.
Hasil siasat awal polis mendapati serangan ke atas mangsa telah dirancang.
"Seramai 13 individu termasuk dua remaja perempuan terlibat dalam pembunuhan kejam ke atas Nusrat. Polis telah memberkas lapan suspek dan seorang guru turut terlibat," kata jurucakap polis.
Ketua Biro Siasatan, Banaj Kanti Majumdar berkata, beberapa orang termasuk seorang defendan ada melawat pengetua terbabit di penjara beberapa hari sebelum serangan itu.
Menurut abang mangsa, adiknya dibawa ke bumbung sekolah dan diserang sekumpulan individu yang menutup muka dan tangan mereka.
Jelasnya, keluarga mereka turut menerima ugutan bunuh selepas membuat aduan kepada pihak berkuasa.
Susulan kejadian itu, Perdana Menteri, Sheikh Hasina telah menggesa hukuman setimpal dikenakan atas perbuatan jenayah kejam itu. - Daily Mail
Pengarah kolej komuniti, Timbalan Pendaftar ditahan kerana tuntutan palsu
JOHOR BAHRU - Pengarah kolej komuniti dan timbalan pendaftar salah sebuah universiti awam di negeri ini antara tiga suspek yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, hari ini.
Seorang lagi suspek adalah pemilik sebuah syarikat swasta yang mana ketiga-tiga mereka dipercayai terlibat mengemukakan tuntutan palsu mengenai program pendidikan yang tidak dijalankan.
Menurut sumber SPRM, ketiga-tiga suspek masing-masingnya berusia dalam lingkungan 40-an hingga 50-an ditahan selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri, hari ini.
Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai bersubahat mengemukakan tuntutan palsu kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkaitan perbelanjaan program Dana Kebolehpasaran Graduan (GE) berjumlah RM689,000 sedangkan program itu tidak dilaksanakan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kesemua suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok (16 April 2019) untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.
Pendakwa perlu buktikan Najib tahu wang dalam akaun sumber haram
Pendakwaan kes SRC International ke atas Najib Razak perlu membuktikan bekas perdana menteri itu bersubahat dalam dakwaan pemindahan wang haram ke dalam akaunnya, kata ketua peguam bela Shafee Abdullah.
Bercakap kepada pemberita selepas perbicaraan itu ditangguhkan hari ini, Shafee berkata penerimaan wang dalam akaun tidak bererti individu pemilik akaun itu tahu punca wang berkenaan.
"Ada banyak transaksi. Isunya ialah, adakah Najib tahu perkara sebenar yang terjadi?
"Adakah dia tahu... Sama ada wang yang masuk dalam akaunnya adalah dari sumber haram? Itu premis asas.
"Hanya kerana wang masuk dalam akaun saya (contohnya), tidak bererti saya tahu dari mana wang itu. Kerana ada banyak individu yang terlibat," katanya kepada pemberita di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Shafee berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perbicaraan hari ini berhubung tuduhan ke pecah amanah dan pengubahan wang haram ke atas Najib melibatkan dana dari SRC International, iaitu beks syarikat subsidiari 1MDB.
"Pendakwaan perlu menunjukkan bahawa dia (Najib) bersubahat dan sebahagian daripada konspirasi," katanya.
Awal hari ini, prosiding yang diadakan di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendengar keterangan daripada dua saksi iaitu pembantu pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Muhamad Akmaludin Abdullah dan pegawai eksekutif Bank Negara Malaysia Azizul Adzani Abdul Ghafar.
Dalam perkembangan perbicaraan hari ini, Shafee berkata setakat ini belum ada pendedahan selain dokumen yang tidak dipertikaikan.
"Perbicaraan hari ini tak banyak perkembangan, mereka hanya kata mereka sudah pergi bank dan dapatkan dokumen tertentu," kata Shafee.
Perbicaraan ditangguhkan pukul 9 pagi esok selepas timbalan pendakwa raya V Sithambaram memaklumkan mahkamah bahawa proses membuat salinan dokumen pihak pembelaan Najib mengambil masa yang lebih daripada yang dijangkakan.
Sabor jelah dengor apek ni bantai Tun M.... kaw kaw
Sabor je lah dengor apek ni bantai PH kaw kaw....
Hadi raikan Tun Daim di Wisma Darul Iman
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkongsi pertemuan mesra dengan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin di laman Facebooknya.
Beliau memuat naik tiga gambar bersama Daim di Wisma Darul Iman, dipercayai ketika program Bicara Darul Iman bertajuk Ekonomi Bumiputera: Agenda Nasional semalam.
Hantaran yang dimuat naik malam semalam itu diiringi kata-kata: "Meraikan Tun Daim Zainuddin yang hadir ke Wisma Darul Iman."
"Banyak kisah dan cerita yang dikongsikan bersama dengan penuh kemesraan. Semoga Tun sentiasa diberikan kesihatan dan dirahmati oleh Allah," kata Hadi.
Daim - orang kanan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad - yang mengetuai rundingan semula projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) baru saja memuktamadkan perkara itu dengan China.
Sebelum ini, Hadi menunjukkan beliau tetap mengekalkah hubungan baik dengan Mahathir dan membuat kunjungan ke Putrajaya pada Jun 2018 dan Januari lalu.
Beliau juga berkata PAS akan menyokong Mahathir apabila parti itu mendakwa ada usaha menjatuhkannya menerusi undi tidak percaya beberapa bulan lalu.
Sunday, April 14, 2019
Tindakan tegas pada ahli bergaduh, tahan kereta polis - Anwar
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tindakan tegas akan diambil jika ada anggota parti itu yang terbabit dalam insiden pergaduhan dan memeriksa sebuah kereta peronda polis (MPV) di Rantau, Negeri Sembilan, semalam.
Beliau berkata kedua-dua insiden itu tidak boleh dipandang ringan kerana tiada sebab untuk mana-mana individu bersikap biadap atau angkuh seperti yang berlaku.
"... tiada sebab juga untuk (individu terlibat) mengambil alih kuasa dan kerja polis. Jika benar ini berlaku, saya sokong tindakan tegas polis kerana parti ini adalah parti yang menghormati undang-undang.
"Saya juga sudah merujuk kepada Biro Disiplin untuk membuat siasatan dalaman dan mereka bebas untuk mengambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikkan Pejabat PKR Pahang di Kuantan Avenue, di Kuantan, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota, dan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri, Fuziah Salleh.
Anwar berkata demikian semasa diminta mengulas insiden pergaduhan yang didakwa berlaku di Bilik Gerakan Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau melibatkan dua kumpulan dalam PKR selepas keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau diumumkan semalam.
Selain itu, turut tular di media sosial hari ini, ialah rakaman video lima lelaki, didakwa penyokong PH memaksa dua anggota polis membuka but MPV di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau kerana mengesyaki kereta polis itu membawa kertas undi ke pusat pengundian.
Dalam perkembangan lain, Anwar menyifatkan kekalahan PH pada tiga PRK iaitu Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau secara berturut-turut sebagai bukan suatu trend kerana ia bergantung kepada kawasan dan pengundi di situ.
"Kita menang empat PRK (Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson) sebelum itu. Kita harus terima hakikat bahawa Rantau adalah kubu Tok Mat (calon Barisan Nasional Datuk Seri Mohamad Hasan) selama 15 tahun.
Menurutnya, kekalahan itu juga sebagai peringatan daripada rakyat yang semakin bijak menilai kerajaan untuk bekerja lebih kuat dalam menangani masalah dan menepati janji yang dibuat sebelum ini.
Bayaran kempen punca gaduh di bilik gerakan PH
Tidak puas hati terhadap bayaran kempen punca pergaduhan yang berlaku di Bilik Gerakan Utama (BGU) Pakatan Harapan (PH) di Bandar Ekar, Rantau malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Mohamad Mat Yusop berkata, kejadian 7.30 malam itu menyebabkan seorang lelaki berusia 50 tahun cedera akibat ditumbuk dan dicekik.
“Kejadian itu bermula dengan perang mulut sebelum mangsa cuba meleraikan. Lelaki itu difahamkan menjadi orang tengah antara calon PKR, Dr S Streram dengan ahli parti berhubung pembayaran kempen.
“Pergaduhan meletus dengan maki hamun dan tolak-menolak sebelum mangsa dicekik dan ditumbuk,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Katanya, polis mengerahkan 10 anggota ke lokasi namun sebaik tiba, pergaduhan sudah berlaku sesama ahli parti terbabit.
Mohamad berkata, anggotanya sempat mengiringi Dr Streram keluar dari bilik gerakan berkenaan.
“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di Kuala Lumpur, jam 12.01 tengah malam. Laporan itu akan disiasat di daerah ini mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang memburu lima suspek utama pergaduhan berkenaan dan mencari saksi kejadian.
Tambah beliau, sepanjang PRK berlangsung polis menerima 135 laporan dengan 21 kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan pilihan raya.
“Buat masa ini satu kes sudah didakwa di mahkamah dan selebihnya masih menunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Prk Dun Rantau - 2 Lelaki ditahan berhubung kes menahan kereta polis
Polis menahan dua lelaki berhubung kejadian di Rantau yang menyaksikan sekumpulan penyokong parti politik menahan dan memeriksa kereta peronda polis.
Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusopberkata suspek yang merupakan penjual kereta terpakai, 52 dari Seremban dan pemandu lori, 53 dari Rantau ditahan tengah hari tadi.
Kedua-dua mereka ditahan di rumah masing-masing dan dikenal pasti sebagai ahli biasa parti politik, kata Mohamad.
"Siasatan masih dijalankan dan polis sedang mengesan tiga individu lain bagi membantu siasatan," katanya kepada Malaysiakini.
Mohamad sebelum itu memaklumkan kepada pemberita bahawa polis membuat siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan (kerana menghalang tugas penjawat awam) berhubung insiden berkenaan.
Semalam, sekumpulan penyokong parti politik menahan kereta peronda polis yang dinaiki dua anggota di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua di Rantau.
Mereka dipercayai bertindak demikian kerana mengesyaki kereta polis itu membawa kertas undi ke pusat pengundian.
Dalam perkembangan sama, Bernama memetik Mohamad sebagai berkata tiga individu lain yang terlibat dalam insiden berkenaan sudah dikenal pasti.
Jelas Mohamad, anggota polis yang terbabit sudah membuat laporan polis hari ini berhubung perkara itu.
“MPV itu tidak memasuki kawasan sekolah, sebaliknya berhenti di luar pagar bagi mengawal keadaan lalu lintas dan keselamatan.
“Kemudian datang lima lelaki mendakwa anggota kami membawa lebihan kertas undi. Apa hak mereka untuk memeriksa MPV polis kerana mereka orang awam," katanya dalam sidang media hari ini.
Katanya, dua anggotanya sepatutnya tidak membenarkan pemeriksaan namun, melakukannya bagi mengelak berlaku kekecohan.
“Apabila bonet kereta dibuka, hanya peti ubat dan peralatan keselamatan sahaja yang ada. Kami harap tindakan itu memuaskan hati mereka.
“Saya tegaskan polis hanya mengiringi kenderaan lain, bukan membawa lebihan kertas undi. Polis juga tidak dapat melakukan tangkapan kerana jumlah penyokong mereka begitu ramai," katanya.
Subscribe to:
Comments (Atom)













