Saturday, April 13, 2019
Polis bantu Indonesia siasat penemuan 50,000 kertas undi pemilihan Presiden Indonesia
Polis sedang membantu pihak berkuasa Indonesia dalam siasatan penemuan kira-kira 50,000 kertas undi bertanda bagi pilihan raya negara jiran itu yang akan berlangsung 17 April ini.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata, memandangkan kes berkenaan tidak melibatkan pelanggaran undang-undang Malaysia, pihaknya menghubungi polis Indonesia untuk menentukan tindakan susulan yang sesuai.
"Berhubung penemuan sejumlah dokumen yang didakwa mempunyai kaitan dengan proses pilihan raya Republik Indonesia di Kajang, Selangor baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan bagi menentukan bentuk tindakan yang boleh diambil untuk membantu pihak berkuasa Indonesia.
"Justeru PDRM telah mendapatkan bantuan polis Republik Indonesia (Polri), memandangkan kes ini tidak melibatkan pelanggaran undang-undang Malaysia.
"Siasatan masih dijalankan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Khamis lalu, ketua jawatankuasa pemantau pilihan raya Kuala Lumpur, Yaza Azzahra mengesahkan penemuan kertas undi berkenaan dua dua kawasan iaitu di Bangi dan Kajang.
Menurut Yaza, kertas undi itu ditemukan dalam 200 beg yang kebanyakannya ditanda sebagai memihak kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan gandingannya Ma'aruf Amin, selain beberapa calon lain dari parti pakatan mereka.
Susulan itu, Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin mengesahkan dua laporan polis dibuat berhubung penemuan itu.
Unit polis forensik kemudian dikerahkan ke bilik sewa di Taman Kajang Utama dan sebuah kedai kosong di Sungai Tangkas, Bangi untuk mengumpul bukti.
Difahamkan siasatan antara lain akan meneliti keaslian kertas undi berkenaan dan bagaimana dokumen yang digunakan untuk pengundian awal itu boleh berada di dua kawasan berkenaan.
Penyokong lawan Jokowi, mendakwa ia sebagai percubaan untuk membuat penipuan undi.
Sementara penyokong Jokowi di media sosial mendakwa perkara itu bagi merosakkan reputasi presiden Indonesia berkenaan.
Pengundian awal bagi pemilihan presiden Indonesia dan perwakilan akan diadakan hari ini bagi rakyatnya yang berada di luar negara termasuk di Malaysia yang berjumlah kira-kira 1.5 juta.
