Tuesday, April 9, 2019
Rosmah hadapi pertuduhan baru kes projek solar
Isteri kepada bekas perdana menteri Rosmah Mansor berdepan satu lagi pertuduhan baru iaitu menerima suapan bernilai RM5 juta melibatkan projek kuasa hibrid solar di Sarawak.
Rosmah dituduh menerima wang berkenaan daripada Saidi Abang Samsudin, pengarah urusan Jepak Holdings yang memperoleh kontrak RM1.25 bilion daripada kementerian pendidikan melalui rundingan terus.
Wang itu dikatakan telah diserahkan oleh pembantunya, Rizal Mansor.
Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Rosmah bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi membenarkan ikat jamin RM1 juta untuk dua pertuduhan rasuah sebelum ini digunapakai bagi pertuduhan terbaru itu.
Beliau menetapkan 10 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.
November lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta bagi projek tenaga solar berkenaan.
