Tuesday, April 9, 2019

Sultan Johor dah teliti lama untuk tukar MB - TMJ


Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mengulas mengenai spekulasi bahawa Osman Sapian akan digantikan sebagai Menteri Besar Johor.

Tunku Ismail berkata Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah membuat keputusan itu sejak beberapa bulan lalu.

"Titah untuk tukar menteri besar dah lama. Tetapi orang lain pula nak ambil kredit dan mileage, kononnya dia arahkan.

"Ke bawah Duli Tuanku sudah meneliti untuk tukar MB sejak berbulan lalu. Jangan lupa, kuasa memilih menteri besar adalah hak mutlak Sultan. Cukup-cukuplah politicking," tulisnya di Twitter hari ini.

Pada Isnin lepas, Osman bertemu perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, yang mencetuskan khabar angin beliau akan digantikan sebagai menteri besar Johor.

Bagaimanapun, setiausaha akhbar Osman menyangkal khabar angin tersebut dan mengatakan menteri besar itu menghadiri perbincangan sebagai persediaan  pemukiman pemimpin Singapura dan Malaysia yang ke-9.

Namun ketiadaan Osman pada sesi pemukiman itu hari ini membangkitkan lagi spekulasi bahawa beliau akan berundur sebagai menteri besar Johor.



https://m.malaysiakini.com/news/471515